Itinerary ke Jogja Indonesia, Hari Pertama

Pengalaman yang seru bangat! Keramahan dan kelembutan orang Jogja. Permandangan yang ‘superb’. Dan sudah pasti makanan-makanannya yang enak.

Bertolak dari KLIA 2 jam 08.25 pagi dan sampai ke Adisucipto jam 9.55 pagi. Keluar saja dari Balai Ketibaan, kami telah ditunggu oleh Pak Untung. Bakal supir kami sepanjang di Kota Jogja. Bagai mimpi jadi nyata.

Tak berlengah lagi, kami terus saja memulakan pengembaraan yang mendebarkan ini. Mendebarkan kerana ini kali pertama kami sekeluarga ke luar negara.

Kami terdiri dari 2 dewasa danĀ  anak-anak yang berusia 8 tahun, 6 tahun, 4 tahun dan 4 bulan. Ada orang kata leceh bawa anak berjalan, tapi percayalah segala urusan semasa mengembara dipermudahkan-Nya. Memang buat kami tak serik untuk ke bahagian bumi Allah yang lain.

Marilah saya kongsikan itinerary lengkap ke Jogja. Mana tahu ada sedang merangka itinerary, moga ini dapatlah membantu.

Hari Pertama

  • Jurang Tembelan
  • Kebun Buah Mangunan
  • Rumah Seribu Kayu
  • Rumah Hobit
  • Puncak Songo Langit
  • Satay Klatak

Setelah berkenalan dengan Pak Untung, supir kami. Perjalanan diteruskan, tempat pertama di Jogja yang dituju adalah Jurang Tembelan. Semasa menuju ke atas, masih ada sisa-sisa kabus yang kelihatan. Buka saja pintu kereta angin sejuk menyerbu masuk. Walaupun masa itu sudah pun pukul 10.00 pagi di Jogja.

Tidak ada aktiviti yang boleh dilakukan disini, melainkan naik ke tempat khusus yang dibuat untuk mengambil gambar. Banyak bukit-bukit hijau disekitar membuatkan permandangan di Jurang Tembelan ini cantik sekali.

Tak lama di situ, kami terus ke Kebun Buah Mangunan. Tempatnya berdekatan, tak sempat panas punggung duduk di dalam kereta.

Sampai ke sana, keadaan masih lengang. Agaknya sebab belum cuti sekolah. Seronok kami anak beranak bergambar sambil menikmati keindahan alam. Jogja, kota yang masih belum tercemar dengan pembangunan. Cantik, udaranya segar sangat.

Tak sangka pula sedang musim durian. Dapatlah kami merasa durian Jogja, itulah makanan pertama di Jogja yang masuk ke dalam perut.

Rupanya tak sama dengan durian Malaysia, bentuknya lonjong sedikit. Rasanya? Jauh lebih sedap durian Malaysia. Durian di sana agak tawar dan keras. Tapi tetap saja kami teruja, sebab kelaparan.

Di kebun ini ada disediakan surau, di Jogja mereka panggil sebagai musollah. Kami solat jamak takdim Zohor dan Asar di situ. Suraunya kecil saja, tapi cukup lengkap serba serbi.

Cuma untuk wanita, ianya kurang selesa. Tempat wuduk di ruangan yang terbuka. Tempat solatnya juga disatukan lelaki dan wanita.

Nak jaga aurat punya pasal, habis basahlah juga tudung semasa berwuduk. Tapi tak apalah, belajar untuk comot-comot sedikit. Telekung? Saya bawa, tapi di dalam beg besar. Langsung saja saya solat dengan baju yang dipakai, mujurlah elok tertutup auratnya.

Seusai solat, sempat juga kami membeli rambutan dan meneruskan perjalanan.

Selepas itu kami terus ke kawasan Hutan Pinus. Mulanya kami ke Rumah Seribu Kayu, berada di situ semacam berada di dalam filem. Cantik dan unik sungguh binaannya. Patutlah dipanggil seribu kayu, sebab entah berapa ribu agaknya kayu yag diguna untuk membangunkan rumah-rumah di situ.

Udaranya lebih segar dan sejuk kerana di dalam kawasan hutan. Berdekatannya ada Rumah Hobit, tak banyak cuma dua rumah saja. Hampir sama dengan rumah hobit di dalam cerita Lord of The Ring.

Ikutkan itinerary asal ke Jogja, agenda ke Puncak Songo Langit tiada. Tiba-tiba saja kami nampak papan tanda ke Puncak Songo Langit. Kami ingatkan dekat saja, rupanya adalah dekat 30 minit kami berjalan naik ke atas puncak.

Tak sangka yang anak-anak kami enjoy, tak merungut pun sepanjang berjalan ke atas. Malah merekalah yang paling teruja nak sampai ke puncak. Mencabar juga treknya. Agak licin dan agak curam.

Sepanjang naik ke atas, kami dipayungi oleh pokok-pokok pine. Kalau du Jogja mereka sebut pokok pinus. Masyaallah cantik sangat, indah.

30 minit berjalan, akhirnya kami pun sampai. Subhanallah, cantik sungguh tempatnya. Melihat bukit bukau hijau, kabus tipis, cuaca yang sejuk dan nyaman. Huh, tak dapat nak digambarkan dengan kata-kata. Mengalirlah juga air mata melihat keindahan ciptaan Maha Esa.

Orang-orang di Jogja sungguh berseni. Taman buatan di Puncak Songo Langit sangat indah. Anak-anak hilang terus penatnya apabila sampai di atas. Ada 3 buaian yang disediakan. Banyak tempat duduk dan bunga yang cantik-cantik ditanam.

Ada satu kejadian yang tak diingini terjadi semasa kami di atas. Gigi anak kedua kami yang usia 6 tahun tercabut. Sungguh istimewa tempat yang dia pilih untuk gigi tercabut.

Serasa tak mahu turun, macam nak terus duduk saja di atas. Tapi nak buat macam mana, perut pun dah mula lapar. Cuaca pun makin gelap. Maka kami pun turunlah ke bawah.

Perut pun dah lapar sangat, terus saja kami menuju ke Satay Klatak Pak Pong. Ini antara makanan yang popular di Jogja.

Satay Klatak ini sebenarnya satay yang diperbuat dari kambing. Namanya klatak sebab daging kambing ini ditusuk pada rim motor yang sudah diceraikan dan dibakar di atas permbakar besi. Bunyi ketak, ketak inilah yang akhinya membawa kepada perkataan klatak itu. Bunyi saja macam tak indah, tapi rasanya alahai, sedap sungguh.

Satu mangkuk ada 2 tusuk dan diberi sedikit kuah sup kambing. Dihidangkan sekali dengan nasi putih atau nasi goreng kambing. Mulanya kami pesan 6 tusuk, sekali tak cukup. Tambah lagi 4 tusuk.

Rasa sataynya ringan, tak menggunakan banyak rempah. Dagingnya lembut sangat, dan sedap. Kalau nak ke Jogja, jangan lupa mampir ke Satay Klatak Pak Pong ini tau.

Habis makan, kami terus ke guest house yang telah ditempah melalui booking.com. Nama tempat ini Ndalam Suryo Saptono.

Cantiknya sama seperti yang di dalam gambar. Oh baru hari pertama, sudah panjang berjela. Nanti saya sambung lagi hari itinerary kedua di Kota Jogja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *