Penyakit Kencing Manis dan Kenali Jenis-jenisnya

Penyakit kencing manis antara penyakit yang sering dihidapi oleh rakyat kita, Malaysia. Walaupun begitu masih ramai yang tidak faham dan tidak tahu bagaimana penyakit ini boleh terjadi.

Ramai di antara pesakit yang tidak menyedari kehadiran penyakit ini, sehinggalah mereka sendiri melihat komplikasi yang terjadi pada tubuh badan mereka.

Apa Itu Penyakit Kencing Manis?

Kencing manis dikelaskan sebagai masalah metabolik yang kronik. Ia berlaku apabila paras gula yang tinggi di dalam darah kerana masalah penghasilan dan fungsi insulin.

Insulin ini adalah sejenis hormon yang dikeluarkan oleh pankreas ketika kita sedang makan. Insulin ini akan membenarkan gula berpindah dari darah kepada sel-sel badan. Namun jika sel-sel badan tidak menggunakan insulin sebaiknya, atau badan tidak mampu hasilkan insulin kesannya gula yang tinggi akan berada di dalam darah.

Simptom-simptom yang sering berlaku untuk penyakit kencing manis ini adalah;

  • kehausan melampau
  • kerap membuang air kecil
  • lemah
  • luka atau bengkak yang lambat sembuh
  • penglihatan menjadi kabur

Jenis-Jenis Penyakit Kencing Manis

Terdapat 4 (empat) jenis penyakit kencing manis;

1-Kencing Manis Jenis 1

Jenis ini dikelaskan sebagai penyakit autoimmune. Ia berlaku apabila sistem imun badan salah berfungsi dan memusnahkan sel-sel beta pada pankreas yang menghasilkan insulin.

Puncanya sering dikaitkan dengan keturunan atau persekitaran, namun penyebab sebenarnya masih belum dapat dipastikan. Ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja termasuklah kanak-kanak dan remaja.

Pesakit kencing manis jenis 1 ini memerlukan suntikan insulin setiap hari untuk menguruskan keadaan mereka.

2-Kencing Manis Jenis 2

Jenis inilah yang banyak dihidapi oleh masyarakat di Malaysia. Ia dikelaskan sebagai masalah rintangan insulin di dalam badan. Penyakit ini terjadi apabila badan mulai berhenti menggunakan insulin secara efektif.

penyakit kencing manis

Oleh kerana rintangan ini sel-sel lemak, hati dan otot gagal menerima dan menyimpan gula akan ditukarkan menjadi tenaga. Kesannya gula tersimpan dan kekal berada di dalam darah. Masalah ini disebut sebagai hyperglycemia yang mencacatkan fungi badan.

Golongan obesiti dan mereka kurang melakukan aktiviti fizikal sering dikaitkan dengan penyakit ini. Selain itu sejarah dan genetik keluarga juga memainkan peranan.

penyakit kencing manis

3-Kencing Manis Ketika Hamil

Penyakit kencing manis ketika mengandung. Ibu mengalami kenaikan paras gula dalam darah yang tinggi. 3% hingga 8% wanita hamil mengalami risiko ini.

Ia boleh mengancam nyawa bayi yang dikandungkan. Bayi lahir dengan berat yang tinggi dan mungkin mengalami masalah pernafasan.

Semua ibu hamil akan diuji untuk masalah ini apabila kandungan mencecah usia 24 hingga 28 minggu kehamilan.

Kebiasaannya penyakit ini akan pulih sebaik sahaja bayi dilahirkan. Namun statistik menunjukkan ibu yang ada kencing manis semasa hamil lebih berisiko terkena kencing manis jenis 2 dalam masa 5 hingga ke 10 tahun.

4-Pra Kencing Manis

Walaupun pra kencing manis ini secara teknikalnya bukan sejenis penyakit diabetes, ia tetap penting untuk diketahui.

Ramai pakar perubatan telah menyatakan ini langkah utama bagi penyakit kencing manis jenis 2. Di mana bacaan gula tinggi dari kadar normal, tetapi belum cukup tinggi untuk dikelaskan sebagai kencing manis jenis 2.

Malah lebih menakutkan lagi, pra diabetes ini juga tanda bahawa penyakit kronik lain seperti penyakit jantung dan strok.

Saya sarankan supaya kita semua membuat pemeriksaan kesihatan setahun sekali. Apatah lagi jika umur sudah memasuki 40 tahun.

Hanya dengan pemeriksaan berkala ini kita boleh mengesan penyakit kencing manis lebih awal. Dan seterusnya kita boleh melaksanakan langkah pencegahan lebih awal.

Sayangi diri sendiri, sebelum kita menyayangi orang lain.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *