10 Tanda-tanda Menopause & Komplikasinya

10 Tanda-tanda Menopause & Komplikasinya

April 3, 2019 0 By Suriya Majid

Menopause adalah keadaan normal bagi setiap wanita yang semakin berumur. Cakna tentang tanda-tanda menopause adalah satu langkah bijak supaya diri menjadi lebih bersedia dan tenang.

Kenali 10 Tanda-tanda Menopause

  1. Haid yang tidak tetap
  2. Kekeringan pada vagina
  3. ‘Hot flashes’ rasa panas walaupun cuaca sejuk
  4. Mengigil
  5. Berpeluh ketika tidur
  6. Perubahan mood yang drastik
  7. Berat naik tanpa sebab musabah
  8. Rambut semakin gugur
  9. Kulit menjadi kering
  10. Payudara mula mengendur

Tidak semua wanita akan mengalami kesemua tanda-tanda ini. Tetapi jika anda mengalami lebih dari 5 daripadanya kemungkinan anda sedang menuju ke fasa menopause.

‘Hot flashes’ salah satu tanda-tanda menopause yang sangat tak menyenangkan.

Menopause ini tidak boleh dipandang remeh. Ia boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan.

Komplikasi Kesihatan Akibat Gejala Menopause

1. Penyakit Jantung

Apabila hormon estrogen menurun kesan dari menopause, risiko untuk mendapat penyakit jantung akan bertambah.

Penyakit jantung ini adalah penyebab kematian nombor satu di negara kita. Baik lelaki, mahupun wanita.

Oleh itu, pemakanan yang sihat dan senaman berkala perlu dilakukan supaya risiko ini boleh diturunkan. 

2. Osteoporosis

Biasa dengar makcik atau nenek yang patah atau retak tulang akibat terjatuh? Walaupun hanya jatuh di dalam rumah. 

Keadaan ini terjadi kerana keadaan tulang menjadi rapuh dan lemah. Pada tahun-tahun awal menopause, kadar ketumpatan tulang berkurangan mendadak dan menyebabkan masalah osteoporosis.

Tulang belakang, pinggang dan pergelangan tangan adalah bahagian yang paling rapuh. Ia mudah retak dan patah walaupun dengan hentakan yang rendah.

3. Gagal Mengawal Kencing

Keanjalan pada bahagian vagina dan urethra akan berkurangan disebabkan menopause.

Anda akan mengalami masalah kegagalan mengawal kencing. Walaupun hanya batuk atau berdehem, air kencing akan terkeluar.

Senaman Kegel, adalah satu cara untuk mengatasi masalah ini.

4. Disfungsi Seks

Melakukan seks tidak lagi menjadi sesuatu yang anda senangi. Ini kerana faraj menjadi kering. Anda merasa sakit dan boleh mengalami pendarahan kecil ketika melakukan hubungan.

Selain itu, libido atau keinginan seks juga semakin menurun. 

Pelincir berasakan air boleh membantu anda. Jika masih rasa sakit, anda boleh gunakan krim yang mengandungi hormon estrogen. 

5. Berat Naik

Ramai wanita yang naik berat badan ketika di awal dan selepas menopause. Kehilangan hormon penting ini membuatkan metabolisma badan menurun. 

Anda perlulah mengawal pemakanan dengan lebih teliti lagi. Silap sikit saja, berat boleh naik tanpa dijangka.

Penting bagi kita wanita untuk mengetahui tanda-tanda menopause dan kesan dari keadaan ini. Supaya kita lebih bersedia dan tenang apabila ianya berlaku.